Jan 15, 2008

Azrul : Maaf

“Air tebu dua.” Lamunannya terganggu dek suara itu. Cepat tangannya mencapai plastik dan memenuhkannya dgn ais. Jug yg berisi air tebu yg telah ditapis, dituang berhati-hati. Getah dicapai. Cekap dia mengikat air tebu yg pertama. Straw diselitkan antara simpulan getah. Selesai satu. Kembali tangannya meneruskan tugasan membungkus lagi satu air tebu yg diminta.

“Tak payah letak dlm plastik, kami nak minum terus.” Tangan Azrul yg sedang mencapai plastik terhenti bila mendengar pelanggannya berkata begitu. Matanya terarah pada wajah itu. Senyuman itu, dengan tahi lalat diatas bibirnya! Azrul tersentak. Senyuman seiras umi... manisnya! Azrul rindu. Hatinya menjerit tiba-tiba dek senyuman yg muncul entah dari mana.

“Woi, lepaslah. Nak jual air tebu ke tak ni?!” terdengar suara halus bersuara keras mengejutkannya. Baru dia sedar yg tangannya memegang kemas air tebu yg dibungkus. Tidak dilepaskan. Sebaik mendengar kata itu, genggaman plastik dilepaskan. Entah kenapa, tangan halus yg menarik bungkusan plastik itu juga turut melepaskan pegangan. Sudahnya bungkusan itu menjunam ditarik graviti dan pecah membasah tanah. Kekeringan tanah dek kemarau yang panjang cepat menyerap lelehan air yg tumpah, secepat darah dalam diri yg menderu turun dari wajah. Pucat. Terkejut dgn sedetik peristiwa yg berlaku tanpa sengaja.

“Wei!!… Apa kau buat ni!!?” suara marah terhembur keluar dari ulas bibir itu. Ternganga Azrul. Terkejut. Pucat putih wajahnya jadi bila jerkahan itu bergegar lagi menyentuh gegendang telinganya. Wajahnya tunduk dan kemudian dia segera membongkok mengambil bekas putih yg pecah. Cermat dia memasukkan sisa buangan itu ke dlm bekas sampah berhampiran.

“Adik, kenapa cakap kasar macam tu? Dia bukan sengaja.” Lembut suara menegur. Mungkin kepunyaan pemilik senyuman tadi. Azrul tak berani mengangkat muka. Dia bangun perlahan-lahan namun masih tunduk.

“Abih kain adik basah. Dah kotor.... ” Suara kecil yg manja tapi jelas terkandung rasa kecewa dari nada suaranya. Azrul rasa bersalah kerana kelalaiannya menjadi penyebab. Namun apakan daya, dia tak mampu nak mengubah segala yang telah berlaku. Rindunya pada umi yg sedang memuncak membuatkan dia terpana bila senyuman manis itu muncul secara tiba-tiba didepannya.

“Maaf... ” Azrul cepat-cepat mengambil kain buruk yg terletak diatas meja, bila menyedari yg dia sepatutnya memperbaiki keadaan itu. Tangannya dihulur kearah gadis kecil itu, cuba mengelap air yg memercik di kain biru.

“Tak payah...! ” katanya kasar sambil menapak ke belakang bila Azrul cuba mendekati. Azrul terkedu. Serba salah.

“Adik, jangan macam tu.... Tak baik. ” Dia bersuara lagi. Azrul mencuri pandang. Mencari penawar rindu pada senyuman bibir bertahi lalat itu. Hanya seketika. Dia tak berani mengangkat muka, lantaran rasa bersalah yg masih memenuhi dada.

“Kak Mi tak nampak ke, kain adik dah basah ni. Dah kotor! Semuanya sbb dia ni yg lalai.” Katanya hampir menangis. Azrul terdiam kaku. Debar dadanya masih belum hilang. Debar rindu pada umi. Debar resah kerana bersalah. Debar kecewa kerana menjadi penyebab kekecohan antara mereka.

“Kak Mi tahu, tapi kotor je kan... Bukan sakit pun. Lagipun Kak Mi rasa dia bukannya sengaja.” Pujuknya lagi, cuba menenangkan adiknya yg hampir menangis. Diam. Hatinya sedikit kecewa kerana kakaknya langsung tak memahami apa yg dia rasa tika itu. Lebih menyedihkan bila kakaknya seolah-olah menyebelahi budak lelaki itu. Budak yg dia rasa seolah hidup dalam dunianya sendiri dan tak pernah mengangkat muka memandang org disekelilingnya. .

“Dah le tu. Nanti balik Kak Mi basuh terus.” Pujuk yg diharap dapat meredakan kemarahan adik manjanya itu.

“Maaf. Saya betul tak sengaja.” Azrul bersuara menyatakan rasa kesal. Wajahnya tunduk lagi. Rasa bersalah. Tak berani dia mengangkat muka memandang dua wajah yg mempunyai impresi yang berbeza bila bercakap dengannya.

“Tak pe. Bungkus yg lain boleh ye!” Katanya sambil tersenyum manis. Azrul mengangkat muka seketika bila mendengar kata-kata yg bernada arahan lembut itu. Tangan Azrul cepat mencapai plastik. Mengulang kembali apa yg dibuat tadi. Pantas. Entah kenapa dia rasa tak selesa melakukan tugasan itu kali ini memandangkan ada mata yg asyik melihat apa yg dilakukannya dgn pandangan yg susah untuk ditafsirkan. Telinganya menangkap suara halus yg masih kedengaran bernada kecewa dan tidak puas hati. Dia tahu ada mulut kecil yg masih terkumat kamit mengomel meluah rasa sendiri. Azrul membiarkan saja. Memang salah aku pun... biarlah dia marah. Bisik Azrul dalam hati.

Air tebu yg siap dibungkus dihulurkan. Pantas tangan kecil itu menyambut dgn wajah yg mencuka. Bungkusan plastik direntap kasar. Azrul terpegun dgn sikap sebegitu. Tak pernah dia hadapi pelanggan yg marah sepanjang dia membantu tok ayah menjual air tebu disitu. Sekurang-kurangnya bukan dari seorang gadis muda yg dirasakan seusia dgnnya.

“Huh.. mengelamun tak kena tempat” dia bersuara lagi. Sekilas dia memandang pakaian dan lencana gadis kecil itu. Hmm… sekolah sama rupanya.

“Adik... sudah lah tu.” Katanya sambil memandang adiknya yg memang dirasakan sedikit keterlaluan sikapnya. Tak selesa dengan kata-kata bernada kasar yang diluahkan.

“Nah... Ini duitnya. Jangan kecil hati dgn dia ye! ” Katanya sambil tersenyum. Azrul memandang wajah itu. Tenang sekali riak wajahnya. Debar didada Azrul semakin surut dek suara itu. Suara yg lahir dari ulasan bibir seorang perempuan selembut bicara umi.

“Tak pe kak. Tak payah bayar. Saya yg salah. ” Azrul tidak menyambut duit yg dihulur. Rasanya hanya itu yang mampu dilakukan sebagai tanda maaf atas kemalangan kecil yang tidak disengajakan itu. Selayaknya itu yang perlu dilakukan oleh penjual sepertinya yang tak mahu kehilangan pelanggan jangka panjang. Apatah lagi seorang perempuan yang memiliki senyuman umi yg dirindu.

“Jangan begitu. Tadi tu bukannya disengajakan. Lagipun berniaga mana boleh macam ni.” Katanya lembut, Azrul tetap diam. Huluran duit masih tak bersambut.

“Kak Mi letak kat sini ye! Kalau nak belanja, lain kali Kak Mi datang lagi. Masa tu barulah Azrul bagi Kak Mi minum free ye? ” Azrul terkejut. Pantas dia mendongak. Macam mana dia tahu nama aku? Siapa dia? Tapi pertanyaan itu hanya bergema di dalam diri. Kak Mi dan adiknya berpaling dan melangkah tanpa menunggu Azrul menjawab. Pandangan Azrul mengiringi langkah mereka tanpa kelip. Kejutan lepas baru reda, kejutan baru pula yg tiba. Fikirannya sarat dgn pertanyaan yang pasti jawapannya tidak akan ditemui dalam tempoh ini. Dalam diam Azrul membisikkan doa agar akan ada pertemuan kedua antara mereka. Kalau nak belanja, lain kali Kak Mi datang lagi. Masa tu barulah Azrul bagi Kak Mi minum free ye? Pasti. Kerana itulah yang telah dijanji tanpa resmi, tanpa diminta olehnya. Tapi cukup untuk membuatkan hati Azrul berbunga. Senyuman yang berbunga dihati tak terlahir dibibir.

“Maaf.” Hanya itu yg mampu diucap. Matanya tak lepas memandang ulas bibir yg tersenyum manis.

“Huh.. Berangan memanjang... Entah apa yang diingat..... ” Telinganya masih sempat menangkap suara kecil itu membebel, berkata sesuatu, pastinya masih bernada marah dan kecewa. Buah bicara yang terluah semakin lama semakin sayup dan suara halus itu hilang bersama jarak yang semakin menjauh.

Jan 14, 2008

Azrul : Semangat Yang Hilang

Tarikh melaporkan diri ke MRSM telah tamat. Azrul masih disini, di kampung Jati. Di saat kawan-kawannya sibuk dengan persiapan untuk memulakan persekolahan ditempat baru, Azrul pula menyibukkan diri dengan lembu tok ayah dan gerai tebu yg semakin mendapat sambutan lantaran kemarau yg membahang. Seboleh mungkin dia menyembunyikan rasa kecewa kerana terpaksa melepaskan tawaran itu begitu saja. Mahu tak mahu dia terpaksa akur dengan keputusan yg telah dibuat. Tak mampu membantah keputusan yg telah dibuat oleh ayah.

Semangatnya untuk belajar seakan hilang. Esok akan di adakan peperiksaan untuk menentukan kelas mana dia akan ditempatkan. Kata cikgu, ianya sekadar penilaian biasa yng dibuat untuk memastikan murd-murid ditempatkan di kelas yg bersesuaian. Mungkin tujuannya untuk memastikan penekanan yg sewajarnya diberikan kepada mereka yang berpotensi dan menjadi harapan pihak sekolah.

Azrul tak peduli. Tak ambil kisah langsung. Baginya kini, biar segigih manapun usaha yg dia lakukan, setinggi manapun cita-cita yg dia letakkan, tak akan mampu mengubah nasib yg telah ditakdirkan. Mungkin telah ditentukan hidupnya disini, membantu tok ma, meringankan beban tok ayah, menjaga kak long dan adik-adiknya. Sedaya mungkin dia memujuk hati sendiri, membisikkan kata yg mungkin dia tak ditakdirkan untuk tampil mengubah nasib keluarga, mungkin bukan dia. Walaupun jauh disudut hatinya dia masih mengharap akan ada keajaiban yg muncul untuk membuka jalan tapi seboleh mungkin harapan kosong itu mahu dipadamkan. Dia mahu belajar menerima kenyataan yg kini jelas terbentang. Belajar hidup dengan apa yang dianugerahkan. Bersyukur dengan apa yang telah ditetapkan olehNya. Tanpa keinginan melampau. Tanpa rasa kesal.

Matanya memandang padang sekolah yang luas. Hijau. Tenangnya warna itu. Warna yang wujud dimana-mana. Apatah lagi di desa yang masih belum tercemar dengan pembangunan yang melampau. Dalam diam dia bersyukur, kerana ketenangan warna yang dicari, mampu dimiliki di sini.

Meriah suara pelajar sekolah rendah yang baru lepas menjalani latihan sukan. Berpusu-pusu kanak-kanak keluar dari pintu pagar utama. Malah ada yang mengambil jalan pintas meredah pintu belakang yang sedikit usang. Gerai tebu milik tok ayah memang terletak disitu. Dihujung pagar berhadapan padang Sekolah Kebangsaan Kg Jati. Tempat yang agak strategik sebab bersebelahan dengan tempat menunggu bas. Tambahan lagi di situ boleh dikatakan kompleks sekolah-sekolah. Dikawasan yang sama, sebelah sekolah kebangsaan itu, terletak sekolah jenis kebangsaan cina, dan juga Sekolah Menengah Sultan Muhammad Shah, sekolah dia sekarang. Sekolah yang dirasakan terlalu asing baginya walaupun kebanyakan teman sekelas, masih lagi org yang sama berjuang semasa disekolah rendah.

Dia lebih sukakan sekolah dulu, sekolah yang dia pernah jejaki kali pertama bersama umi. Semangat yang umi bekalkan ternyata amat berkesan padanya. Segala yang diajar terasa begitu mudah difahami. Terasa setiap hari tidak sabar untuk ke sekolah, meneroka ilmu yang tak pernah terjangka dek minda, mencari pengetahuan yang tak pernah dibicara. Umi selalu bercerita tentang banyak perkara yang dulunya dia tak faham. Mungkin sebab umi tak belajar tinggi, jadi huraian umi tak menepati dan menjejak dasar fikiran yang masih mentah. Tapi semua itu dia kemudiannya tahu dari guru-guru sekolah yang mengajar tanpa jemu. Lebih tersusun, lebih menarik dan mampu menjelaskan logik perkara.

Keghairahannya belajar terasa kembali bila setiap kali menjelang peperiksaan, dia akan mendapat tempat pertama di dalam kelas. Dan senyuman umi yang bangga dengan pencapaiannya itu, sudah cukup sebagai hadiah yang paling berharga. Namun setelah umi tiada, segalanya berubah secara tiba-tiba. Teman-teman dan guru-guru terpaksa ditinggalkan. Meraka terpaksa berpindah kerana kata abah, lebih mudah kalau ada orang yang menjaga mereka. Pilihan yang ada cuma rumah tok ayah kerana atok dan nenek sebelah umi, telah meninggal dunia, lama sebelum Azrul dilahirkan lagi. Bermula dari situ, dia mula mengenal Sekolah Kebangsaan Kg Jati, yang letaknya 2km dari rumah tok ayah.

Disini, disekolah itulah dia kembali mengejar mengejar impian umi yang masih berbekas dalam diri. Belajar dengan segala kesungguhan yang ada demi merebut peluang untuk memperbaiki taraf hidup mereka. Dan disekolah ini, dia berusaha mencapai apa yang telah dia tetapkan dalam impian, tapi itu ternyata belum cukup untuk memberinya peluang untuk dia membuktikan sesuatu. Bukan perhatian dan penghargaan kecemerlangan yang dia harapkan, tapi keinginan untuk melangkah keluar dari resah rindu yang kian hari kian parah. Mengharapkan dengan kesibukan yang tercipta bila dia tekun mengejar cita-cita, dia akan terlupa seketika pada rasa itu. Azrul mengeluh. Melepaskan seribu satu rasa yang mengundang sesak didada. Mungkin impian itu bukan miliknya...

Jan 8, 2008

Azrul : Harapan

Azrul mencongak-congak duit yg ada digenggamannya. Kini harapannya cuma satu; Mak Ida. Tapi Mak Ida berada di Mekah mengerjakan haji. Mak Ida dah bagitahu, dia akan bawa hp ke sana. Kalau nak tunggu Mak Ida balik, pasti semuanya dah terlambat. Tapi dia tahu Mak Ida selalu ada ikhtiar kalau dia tahu berita yg akan di sampaikan. Dia bertekad untuk mencuba.

Cepat-cepat dia melangkah turun menuju ke pondok telefon. Langkah kakinya terasa begitu lambat. Dia mempercepatkan langkah. Semakin lama semakin laju. Sudahnya dia berlari. Sesampainya di pondok telefon, pantas dia memasukkan lima keping duit sepuluh sen ke dalam lubang telefon. Nombor handphone Mak Ida memang sudah tercetak di mindanya. Di tekan butang yang bernombor dengan penuh hati-hati, bimbang kalau tersalah. Ini kali kedua dia menalifon. Azrul tersenyum girang bila dia dengar ada nada dering. Selepas beberapa deringan, terdengar suara perempuan menjawab dalam bahasa Inggeris. Sayup-sayup kedengaran di hujung sana. Azrul panggil Mak Ida, tapi perempuan tu buat macam tak dengar je. Sudahnya talian terputus.

“Ceh, cepat betul talipon ni telan duit aku.” Rungutnya.

Dia melangkah lemah. Mungkin ini adalah ketentuan Tuhan. Mungkin perjuangannya hanya di sini. Bergelut dengan lembu dan tebu tok ayah, berselang seli dgn buku yg koyak dikerjakan Sarah. Mungkin dah tertulis nasibnya untuk membesar bersama Malik, Adi, Nasir dan Megat. Berbasikal, berulang-alik ke ke sekolah, petang bermain bola dan sesekali singgah membeli air untuk menyejukkan tekak. Bezanya cuma Azrul menjadi pemerhati dan penyokong ditepi padang sambil menjual air tebu untuk teman-temannya yang kehausan selepas bermain.

Longlai langkah yang di atur. Dari jauh kelihatan tok ma menyapu dedaun jambu yg jatuh kekeringan. Udin dan Aina leka bermain bermain congkak menggunakan biji getah yg dikutip di ladang Pak Lah. Sarah tak kelihatan. Mungkin masih tidur agaknya. Mendengar bunyi derap kaki melangkah, Tok ma mendongak.

“Azrul, kau dari mana ni? Tak pegi ke kebun tebu ke? ” Azrul diam membatu. Tok ma menggeleng kepala. Anak ini cukup sukar difahami. Tapi Tok Ma tahu, walaupun sikap Azrul agak pendiam, tampak keras dan degil tapi tertanam kelembutan yg menyimpan seribu rasa yg tak pernah di kongsi. Langkah terus di atur, satu demi satu anak tangga di pijak.

“Angah, kenapa tak jawab bila tok ma tanya? Tak baik tau. Tak hormat namanya.” Ah… Kak Long pun tak faham risau hatinya. Niat nak bercerita dengan Kak Long mati bila mendengar teguran itu. Aiza tahu perasaan adiknya terganggu selepas abah memberikan kata putus untuk tidak akan menerima tawaran ke MRSM. Tok ayah dan tok ma turut bersetuju dengan keputusan abah. Lebih menyakitkan bila Makcik Ana dan Mak Jah yang menjadi surirumah sepenuh masa itu yg menjadi rujukan abah dan tok ayah dalam membuat keputusan. Macam-macam alasan yang diberi.

“Belajar kat mana-mana pun sama saja. Lagipun tempat tu jauh. Kau tu kecik, nanti kena buli sapa yang susah. Lagipun kalau pergi sana, semua nak kena beli baru. Baju colour lain, buku kena beli yang lain. Yuran kau lagi. Semua tu duit tau. Dah. Tak payah pegi.” Bebel abah panjang. Muktamad.

Aiza faham keinginan adiknya. Bila mendengar kata abah, dia rasa seperti satu hukuman untuk Azrul.

‘Kenapa Mak Cik Ana dan Mak Jah yg di tanya? Apa yg mereka tahu? Anak-anaknya semua masih bersekolah. Kalau ada yg dah lepas pun sekolah setakat tingkatan 5 saja. Lepas tu menganggur, makan minum di tanggung mak bapak.’ Semua itu hanya bergema difikirannya. Mulutnya seakan terkunci untuk berdebat. Bertekak dengan mereka tanpa ada sesiapa yang menyokong, memang kekalahan yang amat nyata dipihaknya. Sudahnya dia terpaksa memujuk Azrul untuk akur.

Azrul masih diam. Langsung tak bersuara.

“Angah pegi mana tadi?” Aiza membasuh tangan, menangguhkan kerja mencuci pinggan bila dilihatnya Azrul diam membatu. Tunduk memandang lantai kayu yang tidak bercorak.

“Tok ayah mesti tertanya-tanya kenapa Angah tak ke kebun lagi. Nanti Angah pergi ye?” Diam.

“Angah nak makan nasi goreng dulu sebelum ke kebun? Tadi Angah makan sikit aja. Masih berbaki kalau Angah nak makan sekarang. Nak tak? Nanti Kak Long ambikkan.” Diam lagi. Aiza tahu Azrul memendam rasa kecewa. Hatinya pedih. Di usap lembut rambut adiknya. Kemudian tangan Azrul di raih. Di pandang kiri kanan. Memastikan tak ada yang memasang telinga. Dilihatnya tok ma asyik mengumpul daun kering ke satu sudut untuk di bakar. Adik-adiknya masih leka bermain congkak.

“Angah dah telefon Mak Ida? Dapat tak?” Dia cuba memancing perbualan. Dia tahu sebab hanya Mak Ida, adik bongsu umi yang selalu mengambil berat tentang pelajaran mereka. Tapi Mak Ida tinggal jauh di KL. Bila umi meninggal, Mak Ida pernah menyuarakan hasrat untuk menjaga mereka, tapi Tok ayah tak bagi. Alasannya Mak Ida hanya mampu menguruskan diri sendiri saja. Mak Ida belum kahwin, pasti kehidupan Mak Ida tak stabil, macam mana nak jaga budak kecil. Lagipun tinggal kat KL tak selamat. Siapa nak tengokkan mereka bila Mak Ida kerja.

“Angah cuba lah lagi. Nanti kak long bagi duit syiling lagi, ok? Tapi jangan cakap kat sapa-sapa tau?” Azrul berpaling. Aiza tahu umpannya menjadi. Dia memandang wajah Azrul yg muram. Mata Azrul yg sudah hilang sinarnya. Berair. Tapi air hangat dari mata kuyu itu langsung tak menitik, Hanya kerutan kening yg jelas, seolah Azrul menggunakan segala kekuatan dirinya untuk menahannya airmatanya dari keluar. Lama dipandang wajah Aina, kemudian dia kembali tunduk sambil menggangguk perlahan.

“Jangan putus asa tau. Kita kena berdoa. Mak Ida kan ada kat Mekah. Mesti dia doa untuk kita. Nanti kita doa supaya Mak Ida telefon kita balik. Masa tu Angah cakaplah kat Mak Ida. Mesti dia suka.” Azrul mengangguk. Aiza meraba poket baju kurungnya. Dikeluarkan 3 keping duit 20 sen. Diletakkan di dalam genggaman Azrul Memang dia sengaja menyuruh Azrul menggunakan telefon public. Lebih selamat dari meminjam telefon Mak Jah. Nanti Mak Jah bising. Cakap kat Tok ayah, Tok Ma, lepas tu abah. Abah mesti tak suka. Marah.

Tiada kata mampu Azrul luahkan. Sengaja dia membisu sebab dia tahu airmatanya akan mengalir bila saja dia membuka mulut. Bimbang kalau rasa pilu tak dapat dibendung. Dia tak mahu Kak Long bersedih. Kalau dia menangis, Kak Long pasti menangis sama. Namun Aiza tahu segala yang adiknya mahukan adalah untuk kebaikan mereka.

Aiza masih ingat bila Azrul baru mendapat berita tentang tawaran itu. Azrul petah bercerita tentang impiannya.

“Kak Long, Angah nak belajar pandai-pandai, lepas tu jadi doctor. Angah tak nak susahkan abah, susahkan tok ayah. Angah tahu banyak yang kena beli baru, tapi Angah janji, kat sana nanti Angah tak akan mintak duit belanja. Cikgu cakap, kat asrama nanti ada makanan di sediakan percuma. Jadi tak perlulah Angah beli makanan masa rehat. Boleh jimat duit. Kak Long pun nak guna duit untuk belajar. Nak beli ubat lagi. Kalau Angah dah jadi doctor nanti, Angah akan beli ubat yang paling baik untuk kak long, biar kak Long cepat sembuh. Lepas tu belikan baju baru untuk semua Tok Ayah dan Tok Ma, bawak Sarah makan KFC, mesti dia suka, kan Kak Long. Angah nak belikan bola untuk Udin, jadi dia boleh berlatih selalu dan jadi pemain bola sepak seperti yang dia nak. Lepas tu Angah nak belikan buku banyak-banyak untuk Aina sbb dia suka baca buku cerita.”

Indahnya impian itu. Kalaulah Aiza ada kemampuan, pasti akan dia korbankan apa yang termampu untuk pastikan apa yang Azrul cita-citakan tercapai.

Gelap benar malam itu. Panas. Mungkin esok hujan akan turun. Kata umi, panas adalah dugaan sementara sebab esok pasti Tuhan melimpahkan rahmatnya dgn menurunkan hujan. Sama seperti hidup kita. Kesusahan yg ada perlu dilihat sebagai cabaran dan pasti, kalau kita mampu bertahan, nikmat yg tak terduga akan menemani dihari depan. Wajah Azrul dilihatnya samar-samar. Matanya galak seakan tak mahu pejam. Masih teruja dgn surat tawaran yg diterima siang tadi. Agaknya membilang hari untuk ke MRSM.

Cahaya bulan menerjah masuk melalui tingkap yg di biarkan terbuka. Mereka 5 beradik sememangnya tidur dalam satu bilik. Walaupun Aiza tahu, di umur seperti itu, mereka sepatutnya dipisahkan tempat tidur, tapi ruang dan bilik yg terhad, memaksa mereka untuk berkongsi. Dalam gelap airmata Aiza laju meniti pipinya yg gebu. Sedih dan gembira. Sedih mengingatkan umi yg tiada untuk berkongsi kejayaan pertama Azrul sedangkan umilah yg paling menitikberatkan pelajaran. Walaupun tahap pendidikan umi tak setinggi mana, tapi umi tahu ilmu di dada amat penting. Mendengar kata-kata adiknya itu terasa seperti satu rahmat. Terselit rasa bangga yg amat sangat. Dia pasti, suatu hari nanti Azrul akan berjaya dalam hidup. Adiknya itu akan memecahkan tradisi kemiskinan keluarga yg di warisi.

Malam itu, Aiza tak tahu pukul berapa Azrul terlena.

Azrul : Beban dihati

Matanya memandang jauh ke depan. Tanah sawah yg terbiar. Kering kontang tapi tanahnya tetap tidak merekah. Rumput-rumput liar dan lalang masih tumbuh subur, degil melawan hukum alam, tumbuh melata menunjukkan kesungguhan untuk berjuang. Azrul kagum dalam diam, walaupun tak dibekalkan dgn baja ataupun air tapi daun-daunnya tetap menghijau, tumbuh tegap, mendada, seolah merenung langit dgn megah.

Pandangan matanya sayu. Jari-jari kecil Sarah dipegang.

`Ah... Dulu jari-jari akupun pun sekecil ini.’ Pipi mugil kemerah-merahan dipanah bahang pagi disentuh perlahan. Lembut. Lenanya langsung tidak terganggu. Bangsal ringkas yg tidak berdinding ini ternyata selesa mengulit lena Sarah. Mungkin kerana tidak berdinding, deru angin yg lembut bebas mengusap tubuhnya yg tidak berbaju, nyaman dan menenangkan.

Pandangan Azrul tertumpah di wajah Sarah. Adiknya ini semakin lama dipandang semakin terasa keirasannya dgn wajah umi. Diusap rambut ikal Sarah berkali-kali. Dulu umi yg menyentuh lembut rambutnya, menyikat rapi tiap kali selepas mandi. Dia sempat merasa semua itu, walaupun seketika. Tapi cukup untuk dia merasai indahnya mimpi bila terlena di paha umi yg lembut. Kenangan itulah yg dia simpan kemas dilipatan hatinya, yg menjadi kekuatan untuknya menempuh hari-hari yg rakus. Tapi Sarah, si kecil ini, langsung tidak sempat merasai semua itu. Mengingatkan itu, hati Azrul semakin sayu.

“Azrul, dah lah tu. Jangan menung lagi. Bawak balik Sarah. Kejap lagi panas pulak. Tok ayah nak pegi ke kebun, nak ambik tebu. Nanti Azrul pegi sana ye! ” Azrul mengangguk. 4 tahun dia menetap bersama atuk dan neneknya. Sebahagian tanggungjawab mencari rezeki terpikul di bahunya, secara tidak langsung. Bila cuti sekolah, tanggungjawabnya ialah membawa lembu ke padang atau sawah bila pagi, tengah hari mengalih lembu ketempat teduh dan petang mengambil balik lembu ke kandangnya. Sepanjang penggal persekolahan, tugasnya hanya tertumpu di waktu petang. Selepas balik sekolah, dia bergegas ke gerai jualan air tebu milik atuknya.

Azrul masih menyambung menungannya.

`Umi...’. Bisiknya di hati. Dia mengeluh tanpa sedar.
`Kalau umi ada, mesti umi gembira bila tahu Azrul dapat masuk MRSM. Mesti Umi sibuk nak beli baju dan beg Azrul. Mesti abah pun tak akan halang Azrul nak belajar, walau sesusah manapun hidup kita. Ahh…Abah…. Agaknya abah dah lupa kami. Sibuk dengan umi baru dan adik baru.’ Hati kecilnya bersuara lagi. Matanya pedih menahan tangis. Dia menarik nafas panjang. Cuba menenangkan hati yang gundah.

“Sarah, bangun. Jom balik. Nanti Sarah sambung tidur kat rumah ye?” Kejutnya lembut. Sarah membatu. Lena sungguh. Tak sampai hati dia nak mengejutkan lagi. Mungkin Sarah sedang mimpikan umi. Pelukan umi yg hangat dan selesa. Azrul melepaskan keluhan berat. Kalaulah mimpi boleh dicipta, dia akan pastikan setiap malam mimpinya bertemankan umi. Bermain dgn umi, bercerita tentang sekolah dan kawan-kawan, makan bersama, berebut tempat untuk tidur sebelah umi dgn Udin, Aina dan Kak Long dan banyak lagi. Pastinya bangkit pagi mereka lebih ceria jika itu yg dimimpikan saban malam.

Azrul cuba mengangkat Sarah.

`Beratnya!’ Rungut hatinya sendiri. Kalaulah Azrul besar macam abah, mesti tak ada masalah kalau setakat nak mendukung Sarah. Tapi Azrul baru tingkatan satu, sarah pulak cepat membesar, montel pulak tu. Mungkin kerana dia tak tahu erti masalah, tak mengenal tanggungjawab lagi, maka seleranya tak pernah kurang.

Hampir 4 tahun mereka bersama atuk dan nenek, namun Azrul tetap merindukan enak masakan umi. Entah kenapa, walaupun masakan umi begitu ringkas, tapi dia cukup berselera menjamahnya. Walaupun tok ma masak jenis yg sama, selera Azrul tetap tak kembali seperti dulu.

Langkah di atur perlahan menuju rumah atuk yg jaraknya 500 meter dari sawah tempat kegemarannya. Kak Long pasti sedang sibuk di dapur. Menyediakan apa yang perlu untuk makan tengah hari. Kata Kak Long, kita patut bersyukur dgn apa yg ada. Sekurang-kurangnya ada tok ayah dan tok ma untuk menjaga mereka. Abah masih ada walaupun tak tinggal bersama. Masih datang menjengok bila berkesempatan. Jangan terlalu berfikir kekurangan kita. Nasihat Kak Long panjang lebar bukannya tak pernah lekat difikiran Azrul. Bukan Azrul tak bersyukur, tapi Azrul cuma rindukan umi.

Azrul berkerut-kerut menahan berat beban dibelakangnya.

“Sarah, nanti Sarah kena diet sikit. Angah tak larat nak angkat Sarah lagi.” Bisik Azrul sendiri. Dia tahu Sarah masih lena, tak dengar apa yg dikatakannya, tapi dia tak kisah. Sarah macam tak tidur semalaman lagaknya. Rumah setingkat binaan kampung milik tok ayah kelihatan kosong. Azrul mengintai dapur. Sepi. Ahh... mungkin Kak long ke kebun sebelah memetik pucuk ubi untuk di celur.

Azrul : Rindu umi

Langkah di atur perlahan. Sunyi. Hanya kedengaran derap kakinya memijak ranting dan daun-daun kering. Tiba-tiba kedengaran bunyi bising dari atas pokok di seberang jalan. Serentak pandangannya teralih ke arah bunyi tersebut. Kelihatan beberapa ekor burung kelam kabut melebarkan sayapnya. Agaknya terkejut mendengar bunyi ranting patah, dipijak dek Azrul. Langkahnya terhenti. Merenung burung-burung itu terbang bebas di awan. Azrul terfikir, mungkin antara burung-burung yg terbang itu, ada anak burung yg baru belajar menggunakan sayapnya. Belajar untuk berdikari, belajar mencari makanan sendiri.

Mampukah aku terbang seperti burung itu, bebas dan berdikari, tak menyusahkan sesiapa, tak perlu memikirkan apa-apa? Adakah aku terdaya memikul tanggungjawab yg telah umi tinggalkan? Menjadi pelindung untuk adik beradiknya yg masih kecil? Persoalan demi persoalan berlalu tanpa jawapan. Keluhan dilepaskan berat. Dipandang kesebelah kanannya, seberang jalan. Kubur. Batu-batu nesan terpacak kaku. Hatinya digamit pilu.

Umi....

Mulutnya terkumat-kamit membacakan Al-Fatihah. Sedekah untuk umi. Hanya itu yg mampu dilakukan dari kejauhan. Kalaulah umi disemadikan di sini, pasti setiap hari Azrul akan datang. Membersihkan rumput-rumput liar dan membacakan Yaasin untuk umi. Terbayang di matanya senyuman umi yg manis. Mungkin umi akan tersenyum lebar bila menerima kiriman ayat suci dari anak-anaknya. Tapi umi menghabiskan hayat terakhirnya diperantauan, didaerah asing. Di situlah dulunya menjadi tempat ayah dan umi mencari rezeki untuk menyara mereka anak beranak.

Sudah ditentukan Tuhan, umur umi tak panjang. Umi pergi dulu, meninggalkan mereka yg masih kecil, masih memerlukan perhatian dan kasih sayangnya. Menghembuskan nafas terakhir di bumi asing. Lantaran masa dan jarak yg tidak mengizinkan, sudahnya tubuh kering umi disemadikan di sana. Dan Azrul kembali ke kampung Jati, menyimpan kerinduan yg semakin sarat untuk umi...