Jan 8, 2008

Azrul : Harapan

Azrul mencongak-congak duit yg ada digenggamannya. Kini harapannya cuma satu; Mak Ida. Tapi Mak Ida berada di Mekah mengerjakan haji. Mak Ida dah bagitahu, dia akan bawa hp ke sana. Kalau nak tunggu Mak Ida balik, pasti semuanya dah terlambat. Tapi dia tahu Mak Ida selalu ada ikhtiar kalau dia tahu berita yg akan di sampaikan. Dia bertekad untuk mencuba.

Cepat-cepat dia melangkah turun menuju ke pondok telefon. Langkah kakinya terasa begitu lambat. Dia mempercepatkan langkah. Semakin lama semakin laju. Sudahnya dia berlari. Sesampainya di pondok telefon, pantas dia memasukkan lima keping duit sepuluh sen ke dalam lubang telefon. Nombor handphone Mak Ida memang sudah tercetak di mindanya. Di tekan butang yang bernombor dengan penuh hati-hati, bimbang kalau tersalah. Ini kali kedua dia menalifon. Azrul tersenyum girang bila dia dengar ada nada dering. Selepas beberapa deringan, terdengar suara perempuan menjawab dalam bahasa Inggeris. Sayup-sayup kedengaran di hujung sana. Azrul panggil Mak Ida, tapi perempuan tu buat macam tak dengar je. Sudahnya talian terputus.

“Ceh, cepat betul talipon ni telan duit aku.” Rungutnya.

Dia melangkah lemah. Mungkin ini adalah ketentuan Tuhan. Mungkin perjuangannya hanya di sini. Bergelut dengan lembu dan tebu tok ayah, berselang seli dgn buku yg koyak dikerjakan Sarah. Mungkin dah tertulis nasibnya untuk membesar bersama Malik, Adi, Nasir dan Megat. Berbasikal, berulang-alik ke ke sekolah, petang bermain bola dan sesekali singgah membeli air untuk menyejukkan tekak. Bezanya cuma Azrul menjadi pemerhati dan penyokong ditepi padang sambil menjual air tebu untuk teman-temannya yang kehausan selepas bermain.

Longlai langkah yang di atur. Dari jauh kelihatan tok ma menyapu dedaun jambu yg jatuh kekeringan. Udin dan Aina leka bermain bermain congkak menggunakan biji getah yg dikutip di ladang Pak Lah. Sarah tak kelihatan. Mungkin masih tidur agaknya. Mendengar bunyi derap kaki melangkah, Tok ma mendongak.

“Azrul, kau dari mana ni? Tak pegi ke kebun tebu ke? ” Azrul diam membatu. Tok ma menggeleng kepala. Anak ini cukup sukar difahami. Tapi Tok Ma tahu, walaupun sikap Azrul agak pendiam, tampak keras dan degil tapi tertanam kelembutan yg menyimpan seribu rasa yg tak pernah di kongsi. Langkah terus di atur, satu demi satu anak tangga di pijak.

“Angah, kenapa tak jawab bila tok ma tanya? Tak baik tau. Tak hormat namanya.” Ah… Kak Long pun tak faham risau hatinya. Niat nak bercerita dengan Kak Long mati bila mendengar teguran itu. Aiza tahu perasaan adiknya terganggu selepas abah memberikan kata putus untuk tidak akan menerima tawaran ke MRSM. Tok ayah dan tok ma turut bersetuju dengan keputusan abah. Lebih menyakitkan bila Makcik Ana dan Mak Jah yang menjadi surirumah sepenuh masa itu yg menjadi rujukan abah dan tok ayah dalam membuat keputusan. Macam-macam alasan yang diberi.

“Belajar kat mana-mana pun sama saja. Lagipun tempat tu jauh. Kau tu kecik, nanti kena buli sapa yang susah. Lagipun kalau pergi sana, semua nak kena beli baru. Baju colour lain, buku kena beli yang lain. Yuran kau lagi. Semua tu duit tau. Dah. Tak payah pegi.” Bebel abah panjang. Muktamad.

Aiza faham keinginan adiknya. Bila mendengar kata abah, dia rasa seperti satu hukuman untuk Azrul.

‘Kenapa Mak Cik Ana dan Mak Jah yg di tanya? Apa yg mereka tahu? Anak-anaknya semua masih bersekolah. Kalau ada yg dah lepas pun sekolah setakat tingkatan 5 saja. Lepas tu menganggur, makan minum di tanggung mak bapak.’ Semua itu hanya bergema difikirannya. Mulutnya seakan terkunci untuk berdebat. Bertekak dengan mereka tanpa ada sesiapa yang menyokong, memang kekalahan yang amat nyata dipihaknya. Sudahnya dia terpaksa memujuk Azrul untuk akur.

Azrul masih diam. Langsung tak bersuara.

“Angah pegi mana tadi?” Aiza membasuh tangan, menangguhkan kerja mencuci pinggan bila dilihatnya Azrul diam membatu. Tunduk memandang lantai kayu yang tidak bercorak.

“Tok ayah mesti tertanya-tanya kenapa Angah tak ke kebun lagi. Nanti Angah pergi ye?” Diam.

“Angah nak makan nasi goreng dulu sebelum ke kebun? Tadi Angah makan sikit aja. Masih berbaki kalau Angah nak makan sekarang. Nak tak? Nanti Kak Long ambikkan.” Diam lagi. Aiza tahu Azrul memendam rasa kecewa. Hatinya pedih. Di usap lembut rambut adiknya. Kemudian tangan Azrul di raih. Di pandang kiri kanan. Memastikan tak ada yang memasang telinga. Dilihatnya tok ma asyik mengumpul daun kering ke satu sudut untuk di bakar. Adik-adiknya masih leka bermain congkak.

“Angah dah telefon Mak Ida? Dapat tak?” Dia cuba memancing perbualan. Dia tahu sebab hanya Mak Ida, adik bongsu umi yang selalu mengambil berat tentang pelajaran mereka. Tapi Mak Ida tinggal jauh di KL. Bila umi meninggal, Mak Ida pernah menyuarakan hasrat untuk menjaga mereka, tapi Tok ayah tak bagi. Alasannya Mak Ida hanya mampu menguruskan diri sendiri saja. Mak Ida belum kahwin, pasti kehidupan Mak Ida tak stabil, macam mana nak jaga budak kecil. Lagipun tinggal kat KL tak selamat. Siapa nak tengokkan mereka bila Mak Ida kerja.

“Angah cuba lah lagi. Nanti kak long bagi duit syiling lagi, ok? Tapi jangan cakap kat sapa-sapa tau?” Azrul berpaling. Aiza tahu umpannya menjadi. Dia memandang wajah Azrul yg muram. Mata Azrul yg sudah hilang sinarnya. Berair. Tapi air hangat dari mata kuyu itu langsung tak menitik, Hanya kerutan kening yg jelas, seolah Azrul menggunakan segala kekuatan dirinya untuk menahannya airmatanya dari keluar. Lama dipandang wajah Aina, kemudian dia kembali tunduk sambil menggangguk perlahan.

“Jangan putus asa tau. Kita kena berdoa. Mak Ida kan ada kat Mekah. Mesti dia doa untuk kita. Nanti kita doa supaya Mak Ida telefon kita balik. Masa tu Angah cakaplah kat Mak Ida. Mesti dia suka.” Azrul mengangguk. Aiza meraba poket baju kurungnya. Dikeluarkan 3 keping duit 20 sen. Diletakkan di dalam genggaman Azrul Memang dia sengaja menyuruh Azrul menggunakan telefon public. Lebih selamat dari meminjam telefon Mak Jah. Nanti Mak Jah bising. Cakap kat Tok ayah, Tok Ma, lepas tu abah. Abah mesti tak suka. Marah.

Tiada kata mampu Azrul luahkan. Sengaja dia membisu sebab dia tahu airmatanya akan mengalir bila saja dia membuka mulut. Bimbang kalau rasa pilu tak dapat dibendung. Dia tak mahu Kak Long bersedih. Kalau dia menangis, Kak Long pasti menangis sama. Namun Aiza tahu segala yang adiknya mahukan adalah untuk kebaikan mereka.

Aiza masih ingat bila Azrul baru mendapat berita tentang tawaran itu. Azrul petah bercerita tentang impiannya.

“Kak Long, Angah nak belajar pandai-pandai, lepas tu jadi doctor. Angah tak nak susahkan abah, susahkan tok ayah. Angah tahu banyak yang kena beli baru, tapi Angah janji, kat sana nanti Angah tak akan mintak duit belanja. Cikgu cakap, kat asrama nanti ada makanan di sediakan percuma. Jadi tak perlulah Angah beli makanan masa rehat. Boleh jimat duit. Kak Long pun nak guna duit untuk belajar. Nak beli ubat lagi. Kalau Angah dah jadi doctor nanti, Angah akan beli ubat yang paling baik untuk kak long, biar kak Long cepat sembuh. Lepas tu belikan baju baru untuk semua Tok Ayah dan Tok Ma, bawak Sarah makan KFC, mesti dia suka, kan Kak Long. Angah nak belikan bola untuk Udin, jadi dia boleh berlatih selalu dan jadi pemain bola sepak seperti yang dia nak. Lepas tu Angah nak belikan buku banyak-banyak untuk Aina sbb dia suka baca buku cerita.”

Indahnya impian itu. Kalaulah Aiza ada kemampuan, pasti akan dia korbankan apa yang termampu untuk pastikan apa yang Azrul cita-citakan tercapai.

Gelap benar malam itu. Panas. Mungkin esok hujan akan turun. Kata umi, panas adalah dugaan sementara sebab esok pasti Tuhan melimpahkan rahmatnya dgn menurunkan hujan. Sama seperti hidup kita. Kesusahan yg ada perlu dilihat sebagai cabaran dan pasti, kalau kita mampu bertahan, nikmat yg tak terduga akan menemani dihari depan. Wajah Azrul dilihatnya samar-samar. Matanya galak seakan tak mahu pejam. Masih teruja dgn surat tawaran yg diterima siang tadi. Agaknya membilang hari untuk ke MRSM.

Cahaya bulan menerjah masuk melalui tingkap yg di biarkan terbuka. Mereka 5 beradik sememangnya tidur dalam satu bilik. Walaupun Aiza tahu, di umur seperti itu, mereka sepatutnya dipisahkan tempat tidur, tapi ruang dan bilik yg terhad, memaksa mereka untuk berkongsi. Dalam gelap airmata Aiza laju meniti pipinya yg gebu. Sedih dan gembira. Sedih mengingatkan umi yg tiada untuk berkongsi kejayaan pertama Azrul sedangkan umilah yg paling menitikberatkan pelajaran. Walaupun tahap pendidikan umi tak setinggi mana, tapi umi tahu ilmu di dada amat penting. Mendengar kata-kata adiknya itu terasa seperti satu rahmat. Terselit rasa bangga yg amat sangat. Dia pasti, suatu hari nanti Azrul akan berjaya dalam hidup. Adiknya itu akan memecahkan tradisi kemiskinan keluarga yg di warisi.

Malam itu, Aiza tak tahu pukul berapa Azrul terlena.

No comments: