Jan 14, 2008

Azrul : Semangat Yang Hilang

Tarikh melaporkan diri ke MRSM telah tamat. Azrul masih disini, di kampung Jati. Di saat kawan-kawannya sibuk dengan persiapan untuk memulakan persekolahan ditempat baru, Azrul pula menyibukkan diri dengan lembu tok ayah dan gerai tebu yg semakin mendapat sambutan lantaran kemarau yg membahang. Seboleh mungkin dia menyembunyikan rasa kecewa kerana terpaksa melepaskan tawaran itu begitu saja. Mahu tak mahu dia terpaksa akur dengan keputusan yg telah dibuat. Tak mampu membantah keputusan yg telah dibuat oleh ayah.

Semangatnya untuk belajar seakan hilang. Esok akan di adakan peperiksaan untuk menentukan kelas mana dia akan ditempatkan. Kata cikgu, ianya sekadar penilaian biasa yng dibuat untuk memastikan murd-murid ditempatkan di kelas yg bersesuaian. Mungkin tujuannya untuk memastikan penekanan yg sewajarnya diberikan kepada mereka yang berpotensi dan menjadi harapan pihak sekolah.

Azrul tak peduli. Tak ambil kisah langsung. Baginya kini, biar segigih manapun usaha yg dia lakukan, setinggi manapun cita-cita yg dia letakkan, tak akan mampu mengubah nasib yg telah ditakdirkan. Mungkin telah ditentukan hidupnya disini, membantu tok ma, meringankan beban tok ayah, menjaga kak long dan adik-adiknya. Sedaya mungkin dia memujuk hati sendiri, membisikkan kata yg mungkin dia tak ditakdirkan untuk tampil mengubah nasib keluarga, mungkin bukan dia. Walaupun jauh disudut hatinya dia masih mengharap akan ada keajaiban yg muncul untuk membuka jalan tapi seboleh mungkin harapan kosong itu mahu dipadamkan. Dia mahu belajar menerima kenyataan yg kini jelas terbentang. Belajar hidup dengan apa yang dianugerahkan. Bersyukur dengan apa yang telah ditetapkan olehNya. Tanpa keinginan melampau. Tanpa rasa kesal.

Matanya memandang padang sekolah yang luas. Hijau. Tenangnya warna itu. Warna yang wujud dimana-mana. Apatah lagi di desa yang masih belum tercemar dengan pembangunan yang melampau. Dalam diam dia bersyukur, kerana ketenangan warna yang dicari, mampu dimiliki di sini.

Meriah suara pelajar sekolah rendah yang baru lepas menjalani latihan sukan. Berpusu-pusu kanak-kanak keluar dari pintu pagar utama. Malah ada yang mengambil jalan pintas meredah pintu belakang yang sedikit usang. Gerai tebu milik tok ayah memang terletak disitu. Dihujung pagar berhadapan padang Sekolah Kebangsaan Kg Jati. Tempat yang agak strategik sebab bersebelahan dengan tempat menunggu bas. Tambahan lagi di situ boleh dikatakan kompleks sekolah-sekolah. Dikawasan yang sama, sebelah sekolah kebangsaan itu, terletak sekolah jenis kebangsaan cina, dan juga Sekolah Menengah Sultan Muhammad Shah, sekolah dia sekarang. Sekolah yang dirasakan terlalu asing baginya walaupun kebanyakan teman sekelas, masih lagi org yang sama berjuang semasa disekolah rendah.

Dia lebih sukakan sekolah dulu, sekolah yang dia pernah jejaki kali pertama bersama umi. Semangat yang umi bekalkan ternyata amat berkesan padanya. Segala yang diajar terasa begitu mudah difahami. Terasa setiap hari tidak sabar untuk ke sekolah, meneroka ilmu yang tak pernah terjangka dek minda, mencari pengetahuan yang tak pernah dibicara. Umi selalu bercerita tentang banyak perkara yang dulunya dia tak faham. Mungkin sebab umi tak belajar tinggi, jadi huraian umi tak menepati dan menjejak dasar fikiran yang masih mentah. Tapi semua itu dia kemudiannya tahu dari guru-guru sekolah yang mengajar tanpa jemu. Lebih tersusun, lebih menarik dan mampu menjelaskan logik perkara.

Keghairahannya belajar terasa kembali bila setiap kali menjelang peperiksaan, dia akan mendapat tempat pertama di dalam kelas. Dan senyuman umi yang bangga dengan pencapaiannya itu, sudah cukup sebagai hadiah yang paling berharga. Namun setelah umi tiada, segalanya berubah secara tiba-tiba. Teman-teman dan guru-guru terpaksa ditinggalkan. Meraka terpaksa berpindah kerana kata abah, lebih mudah kalau ada orang yang menjaga mereka. Pilihan yang ada cuma rumah tok ayah kerana atok dan nenek sebelah umi, telah meninggal dunia, lama sebelum Azrul dilahirkan lagi. Bermula dari situ, dia mula mengenal Sekolah Kebangsaan Kg Jati, yang letaknya 2km dari rumah tok ayah.

Disini, disekolah itulah dia kembali mengejar mengejar impian umi yang masih berbekas dalam diri. Belajar dengan segala kesungguhan yang ada demi merebut peluang untuk memperbaiki taraf hidup mereka. Dan disekolah ini, dia berusaha mencapai apa yang telah dia tetapkan dalam impian, tapi itu ternyata belum cukup untuk memberinya peluang untuk dia membuktikan sesuatu. Bukan perhatian dan penghargaan kecemerlangan yang dia harapkan, tapi keinginan untuk melangkah keluar dari resah rindu yang kian hari kian parah. Mengharapkan dengan kesibukan yang tercipta bila dia tekun mengejar cita-cita, dia akan terlupa seketika pada rasa itu. Azrul mengeluh. Melepaskan seribu satu rasa yang mengundang sesak didada. Mungkin impian itu bukan miliknya...

No comments: